AHLAN WA SAHLAN!! Saya "Fatinnad"! (A195568 FATIN NADIA)
Assalamualaikum dan hi semua! Nama saya Fatin Nadia Binti Abdul Ghani dan mesra dipanggil sebagai fatinnad atau tinnad✌. Saya merupakan anak kelahiran negeri yang digelar sebagai jelapang padi iaitu negeri Kedah Darul Aman. Dilahirkan pada bulan Julai tahun 2003 dan kini saya berusia hampir 20 tahun.Saya merupakan anak yang keempat daripada lima orang adik beradik. Lahir sebagai satu-satunya anak perempuan dalam kalangan adik-beradik saya bukanlah sesuatu yang saya impikan atau harapkan. Seronok? Mungkin ya dan mungkin tidak😆. Kalau nak cerita tentang personaliti saya pula, boleh dikatakan saya ni seorang yang "introvert" kategori maksimum. Saya memang dari kecil tidak suka bergaul dengan orang ramai dan lebih selesa menghabiskan waktu bersendirian atau bersama keluarga. Perwatakan saya pula sejenis yang agak kasar. Seawal umur 4 tahun lagi saya sudah menceburkan diri dalam bidang seni mempertahankan diri iaitu taekwondo. Jadi saya boleh katakan yang saya ini memang agak kasar😁. Tambahan pula hanya saya seorang saja perempuan dalam kalangan adik-beradik saya👧.
Beralih kepada latar belakang pendidikan, saya memulakan pendidikan awal di Sekolah Kebangsaan Lunas Jaya. Kemudian pada peringkat menengah pula, saya bersekolah di Sekolah Menengah Kebangsaan Kulim. Di sekolah inilah tempat saya menimba ilmu dari tingkatan 1 hingga tingkatan 5 plus. Mesti ramai tertanya kenapa 5 plus kan? Ya, saya merupakan batch yang tersakiti disebabkan wabak COVID-19 yang melanda dunia pada tahun 2020 dulu iaitu batch SPM ProMax. Bagi saya ianya bukanlah sesuatu yang mudah apabila tarikh peperiksaan SPM yang banyak kali terpaksa ditangguh dan sesi persekolahan yang terpaksa dibuat secara atas talian. Namun berkat usaha yang berterusan, saya akhirnya berjaya juga mendapat keputusan yang bagi saya agak cemerlang. Sepanjang zaman persekolahan saya dari tahun 1 sehinggalah tingkatan 5, saya begitu meminati subjek Bahasa Melayu, Sejarah dan Biologi. Kalau pelajar lain pada waktu subjek Sejarah akan mengantuk dan tidur tetapi saya pula tidak sama sekali😆. Pada waktu subjek inilah saya paling seronok dan teruja 😍. Bagi saya Bahasa Melayu itu indah, Sejarah itu perlu dipelajari supaya kesilapan nenek moyang kita tidak diulangi dan Biologi itu sebahagian daripada hidup kita ❤.
Kemudian, saya melanjutkan pelajaran di Kolej Matrikulasi Perlis (KMP) dalam bidang peraukanan selama setahun. Pada awalnya, saya ingin memasuki Kolej Tingkatan Enam dalam bidang Bahasa Melayu tetapi disebabkan tidak mendapat dorongan daripada keluarga saya atas sebab-sebab yang tertentu, jadi saya telah memilih program matrikulasi sebagai destinasi pengajian saya. Selepas tamat program matrikulasi pada bulan Mei tahun lepas, saya boleh katakan yang saya agak buntu untuk memilih laluan kerjaya saya selepas itu. Apa yang ada dalam fikiran saya ialah saya memang tidak mahu menceburi bidang ekonomi sama sekali. Bagi saya, subjek yang paling saya tidak suka dan minat sepanjang 20 tahun saya hidup di atas muka bumi yang fana ini adalah subjek ekonomi😌. Akhirnya pada bulan 9, keputusan UPU diumumkan dan saya berjaya memasuki Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) dalam bidang ekonomi. UKM? Ekonomi? WOW!!!! Betul lah apa yang orang dulu-dulu kata, benda yang kita tidak suka itulah yang kita akan dapat😀. UKM dan bidang ekonomi bukanlah pilihan pertama bahkan kedua dan ketiga dalam hidup saya tetapi ianya merupakan dorongan daripada ibu bapa saya untuk meletakkan ia di pilihan yang keempat dalam sistem UPU 😊. Tak kenal maka tak cinta, itulah yang menjadi pembakar semangat saya untuk meneruskan pengajian dalam bidang ekonomi💪.
Bagi saya semua ini bukanlah satu kegagalan tetapi merupakan satu permulaan dalam hidup saya untuk mengejar cita-cita saya💙. Saya amat bersyukur diberi peluang untuk melanjutkan pelajaran di universiti yang merupakan antara universiti terbaik Malaysia💞. Berkenaan dengan cita-cita pula, saya daripada kecil ingin menjadi seorang pensyarah bahasa disebabkan minat saya yang cukup mendalam dalam bidang bahasa. Bagi saya Bahasa Melayu merupakan sebuah bahasa yang unik untuk dikaji dan ditelusuri dengan lebih mendalam. Cita-cita saya persis seperti abang sulung saya yang kini sudah berjaya menggapai cita-citanya sejak dahulu lagi yang ingin menjadi seorang pensyarah Linguistik Bahasa Melayu di Universiti Teknologi Mara (UiTM) kampus Shah Alam. Namun disebabkan ibu bapa saya yang seakan-akan tidak mendorong cita-cita saya ini disebabkan ianya tidak mudah dan skop pekerjaan yang terhad, jadi saya telah beralih arah dengan memasuki bidang peraukanan dan akhir sekali bidang ekonomi. Kalau nak bandingkan cita-cita saya yang dulu dengan yang sekarang umpama jauh api dari panggang la katakan. Jadi kalau tanya saya sekarang apa cita-cita saya? Saya hanya boleh katakan yang saya ingin menjadi seorang pensyarah👊.
Setiap orang dalam
dunia ini mempunyai hobi mereka yang tersendiri termasuklah diri saya sendiri. Hobi
saya sejak kecil membaca novel. Saya sejenis yang tidak suka akan novel yang
berunsur romantik atau boleh katakan yang berunsur cinta cintun, akan tetapi novel “thriller”
yang menjadi pilihan hati saya sejak dahulu lagi. Saya juga gemar menghabiskan masa lapang saya
dengan menulis. Kadang saya menulis lirik lagu, kadang saya menulis novel saya
sendiri dan ada masa saya menulis ayat puitis. Semuanya terserah kepada mood
saya pada hari itu 😎.
Jadi inilah serba
sedikit mengenai insan kerdil ini, fatinnad.
Terlalu banyak
kata yang hendak dipertuliskan.
Mengharapkan
agar kata hati ini diperdengarkan dalam bisu
Biarpun nafas
kuat mendengus
Tetapi tidak
mengapa, Tuhan pasti mendengar segala-galanya.

Comments
Post a Comment