MINGGU ORIENTASI UKM!!! (A195568, FATIN NADIA)

 Assalamualaikum dan salam sejahtera✌. Apa khabar semua? Harap semuanya berada dalam keadaan sihat walafiat😉. Harini saya ingin berkongsi kepada anda semua mengenai pengalaman saya pada minggu pertama di Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM). Saya berharap anda semua tidak bosan atau jemu membaca coretan blog saya ini😁. Jadi pada bulan Oktober 2022 merupakan bulan di mana hampir kesemua universiti di Malaysia menerima mahasiswa-mahasiswa baharu di bawah Program Ijazah Sarjana Muda termasuklah Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM).  Pada peringkat pertama, UKM telah menerima sebanyak 3000 lebih mahasiswa baharu dari pelbagai latar belakang pendidikan. Sudah menjadi adat, lumrah dan tradisi sesuatu tempat pengajian untuk mengadakan sesi orientasi apabila menerima pelajar-pelajar baharu sama ada di sekolah rendah, menengah, matrikulasi dan juga di universiti😍. Sesi orientasi umumnya diadakan untuk memperkenalkan kepada pelajar-pelajar baharu mengenai tempat atau lokasi yang terdapat di situ. Selain itu, ia juga bagi mengenali antara satu sama lain, mengeratkan hubungan dan memupuk semangat kerjasama. Minggu pertama di UKM merupakan minggu orientasi atau disebut sebagai Minggu Apresiasi Watan (MAW) yang diadakan selama 5 hari bermula pada 8 Oktober 2022 hingga 12 Oktober 2022.

8 OKTOBER 2022

8 Oktober merupakan hari di mana semua mahasiswa baharu akan mendaftar di kolej kediaman masing-masing. Sebelum sesi pendaftaran pada hari itu, semua pelajar telah sedia maklum mengenai penempatan kolej kediaman masing-masing dan bagaimana sesi pendaftaran akan dijalankan. Sesi pendaftaran pada hari tersebut telah dibahagikan kepada dua bahagian iaitu sesi pertama yang bermula 9 pagi hingga 12 tengahari manakala sesi kedua yang bermula pada pukul 2 petang hingga 5 petang. Saya telah ditetapkan untuk mendaftar pada sesi yang pertama iaitu bermula 9 pagi tetapi disebabkan abah saya seorang yang tidak suka untuk beratur dan menunggu dalam jangka masa yang lama, jadi keluarga saya telah tiba di UKM seawal pukul 8:00 pagi😄. Kolej kediaman saya merupakan Kolej Rahim Kajai yang berada tidak jauh dari Dewan Gemilang, jadi kenderaan keluarga saya ditetapkan untuk memarkir di kawasan perkarangan Dewan Gemilang. Setibanya di sana,saya beranggapan bahawa sesi pendaftaran masih belum bermula kerana masih terlau awal lagi tetapi jangkaan saya salah sama sekali apabila setibanya di sana, pemudah cara yang bertugas menghampiri kenderaan kami dan kemudiannya memberitahu bahawa boleh mengangkat barang-barang  untuk naik ke atas bas. Kesemua barang saya telah diangkat oleh pemudah cara yang bertugas dan saya serta keluarga saya hanya bawa diri saja naik atas bas😂. Dalam 5 minit  macam tu, bas tiba di kawasan perkarangan Kolej Rahim Kajai. Saya mengharapkan yang bas akan naik sampai ke atas kolej tetapi TIDAKKK!😭😭. Bas hanya berhenti depan stesen bas kolej atau saya katakan terlalu jauh dari blok saya. Jadi saya dan mak abah saya la yang perlu mengangkut barang-barang saya naik ke atas blok😌. Nasib baik pemudah cara kolej ni baik sangat dan tolong dari awal sampai kolej sampailah saya masuk bilik💚. Kalau ikutkan selepas mengemas barang, pelajar boleh lagi turun bawah pergi jalan-jalan dengan family masing- masing dulu sebelum pukul 5 petang. Tapi disebabkan keluarga saya yang perlu pulang ke Kedah selepas itu, maka tinggallah saya seorang diri melayan “homesick” sementara menunggu roommate sendiri daftar diri di UKM😀😀. Kalau nak ikutkan ni bukanlah pertama kali saya menjejakkan kaki ke UKM, tetapi sudah berulang kali saya menjejakkan kaki di universiti ini. Cuma bezanya dulu saya hantar abang kedua saya di Kolej Pendeta Zaaba tetapi kalini saya sendiri yang mendaftar diri sebagai mahasiswa di universiti ini sebagai penghuni Kolej Rahim Kajai.


                                                       Gambar selfie saya dalam bilik KRK 

Pada sebelah petang dan malam, semua pelajar baharu yang menginap di KRK perlu turun ke bawah iaitu di perkarangan pejabat KRK untuk slot aktiviti bersama kolej. Pada sebelah petang, kami semua diajar untuk menyanyi dan menghafal “chant” kolej masing-masing. Kolej saya terkenal dengan “sikalakasi” di mana saya sendiri pun tidak tahu akan maksudnya pada mulanya😅. Pada sebelah malam, telah berlangsung sesi suai kenal dan ramah mesra bersama pengetua kolej, felo kolej, majlis perwakilan pelajar, pemudah cara dan lain lain lagi. Pada malam ini juga diadakan sesi “ice-breaking”. Penat? Letih? Mengantuk? Ya semua ni bercampur dalam satu masa😴. 

9 OKTOBER 2022

Pada hari kedua, kami semua diarahkan untuk bangun seawal pukul 4 pagi😴. Masih terngiang-ngiang lagi dalam fikiran saya bunyi motorsikal yang dipandu oleh pemudah cara di kawasan blok-blok utama untuk mengejutkan kami semua supaya bangun daripada tidur. Bising? Ya bising betul, dah macam tengah merempit pagi-pagi buta tauuu😭😭 tapi itulah alternatif yang dilakukan oleh pemudah cara untuk kami semua bangun awal😌. Selepas selesai bersarapan, kami dikehendaki untuk berada di Dewan Canselor Tun Abdul Razak (DECTAR) bagi sesi berikutnya. Ia dimulakan dengan ucapan daripada Timbalan Naib Canselor bagi sesi pembukaan Minggu Apresiasi Watan (MAW). Pada hari tersebut begitu banyak sesi yang berlangsung dari pagi sehinggalah ke lewat malam. Antara sesi yang berlangsung ialah Sesi Bersama Pusat Hal Ehawal Pelajar (HEP-UKM), Sesi Bersama Pusat Pengajian Citra dan sebagainya. Bagi saya, setiap sesi tersebut sangatlah bermanfaat dan sangat seronok. Sesi yang paling saya ingat hingga ke detik ini ialah Sesi bersama Ikon Pelajar dan Alumni UKM. Rupanya orang yang saya minati selama ini merupakan alumni UKM😍😎. 

10 OKTOBER 2022

Hari ketiga merupakan hari di mana semua mahasiswa baharu akan dibawa untuk mengunjungi fakulti masing-masing😱. Saya merupakan pelajar bidang ekonomi jadi sudah pasti fakulti saya adalah Fakulti Ekonomi dan Pengurusan😎😄. Fakulti saya ini boleh dikatakan agak dekat dan agak jauh daripada kolej saya iaitu Kolej Rahim Kajai. Kalau nak berjalan dari kolej ke fakulti boleh dikatakan dalam 10 minit macam tu jugak la. Boleh la buat keluar peluh sikit😂😁. Pelbagai aktiviti yang dijalankan di fakulti masing-masing pada hari ketiga ini contohnya sesi pengurusan fakulti bersama mahasiswa baharu sesi 2022/2023, Jom Tanya Ketua Program & Penolong Pendaftar Prasiswazah dan lain-lain lagi seperti “ice-breaking”. Pada waktu inilah saya telah berjumpa dan berkenalan dengan kawan baik saya sehingga saat ini iaitu Lee Lye Ting😍. Saya dengan Lye Ting telah merancang untuk memilih kelas pada waktu, hari dan tarikh yang sama sepanjang semester 1.

Pada sebelah malam pula telah berlangsungnya Malam Cinta Rasul di Masjid UKM bagi memperingati hari kelahiran Nabi Muhammad S.A.W😊. Program ini diisi dengan pelbagai aktiviti seperti ceramah, selawat ke atas baginda S.A.W dan lain-lain lagi yang bagi saya ia merupakan sesuatu yang amat bernilai. Bagi pelajar bukan islam pula, mereka semua akan berada di DECTAR bagi program pengisian pada malam itu. 

11 OKTOBER 2022

Pada hari yang keempat merupakan aktiviti senamrobik bersama Pengurusan Tertinggi UKM di mana kami semua perlu berkumpul di Dewan Gemilang bagi menjayakan aktiviti ini. Apa yang mengembirakan hati saya pada pagi itu ialah kolej saya merupakan antara kolej yang tiba awal di kawasan perkarangan Dewan Gemilang😁. Manakan tidaknya, sebelum ini kolej saya lah yang paling lambat sekali tiba di sesuatu lokasi yang ditetapkan sebelum aktiviti dimulakan😂. Pada pagi tersebut, pelbagai lagu yang dimainkan bagi memeriahkan lagi sesi senamrobik yang berlangsung. Pada sebelah petang, Program Prakarsa atau Domain Kemenjadian Pelajar diadakan. Pelbagai jenis domain yang diketengahkan kepada mahasiswa-mahasiswa baharu. Antaranya domain kebudayaan, domain sukan, domai keusahawanan dan inovasi, domain unit uniform dan banyak lagi. Macam biasa domain yang menjadi pilihan hati saya ialah domain unit uniform😎😚. Sejak kecil lagi saya meminati badan unit uniform. Kalau dulu sekolah menengah, kadet polis yang menjadi pilihan hati saya disebabkan aktiviti yang dijalankan sangat seronok seperti kawad kaki, menembak, rentas halangan dan sebagainya👊. Domain unit uniform dijalankan di bawah khemah berhadapan dengan Blok E. Semasa sesi domain ini berlangsung, pegawai-pegawai dari setiap pasukan unit uniform akan mempromosikan unit masing-masing kepada pelajar-pelajar baharu. Unit uniform yang berjaya menambat hati saya ialah Siswa Siswi Pertahanan Awam (SISPA. Bagi saya, bukan mudah dan senang untuk masuk SISPA ni, ujian fizikal yang diadakan boleh dikatakan agak sukar. Tetapi saya berjaya juga akhirnya. Alhamdulillah!😊

Beralih ke sebelah malam pula, Program Semarak Sukan UKM telah berlangsung di Stadium UKM. Bagi saya malam ini merupakan malam yang saya tidak akan lupa hingga akhir hayat saya💕💙. Setiap kolej akan menghantar wakil masing-masing dalam acara perbarisan dan pelajar-pelajar lain akan memberi sokongan padu kepada wakil kolej masing-masing. Kolej Rahim Kajai merupakan kolej pertama yang perlu “beraksi” pada malam itu. Saya beranggapan bahawa kolej ini akan mendapat tempat pada malam tersebut tetapi tanggapan saya meleset apabila kolej saya tidak berjaya memenanginya. Aktiviti pada malam tersebut diakhiri dengan pertunjukkan bunga api di udara😍😍. Dah macam raya pulak bila teringat balik😂😂.

12 OKTOBER 2022

Hari kelima juga merangkap sebagai hari terakhir Minggu Apresiasi Watan bagi sesi 2022/2023. Pada hari terakhir ini, semua pelajar perempuan diwajibkan untuk memakai baju kurung bewarna biru, berkasut formal dan memakai selendang UKM di bahu. Bagi pelajar muslim, semua dikehendaki untuk memakan tudung berwarna putih. Kemudian semua pelajar perlu berkumpul di DECTAR bagi Amanat Naib Canselor dan kemuncaknya ialah Bacaan Ikrar. Selepas bacaan ikrar ini, maka kesemua mahasiswa-mahasiswa baharu sesi 2022/2023 dengan ini sah menjadi pelajar Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM)😎.

Seterusnya pada sebelah malam pula diadakan Konsert Di Sini Lahirnya Sebuah Cinta. Terdapat pelbagai persembahan yang dipersembahkan pada malam ini tetapi apa yang lebih mengujakan saya ialah kesemua persembahan yang dipersembahkan ini terdiri daripada mahasiswa-mahasiswa baharu dan pensyarah-pensyarah dari semua kolej kediaman masing-masing😍😍. Bagi saya pelajar-pelajar yang mengambil bahagian pada malam ini sangat berbakat💕. Bermula dari persembahan nyanyian sehinggalah ke tarian semuanya amat berbakat. Malam terakhir Minggu Apresiasi Watan (MAW) diakhiri dengan pertarungan “chant” daripada setiap kolej kediaman ❤.

 

                                                             Mafla Kolej Rahim Kajai
                                                                      

Kesimpulannya, Minggu Apresiasi Watan (MAW) bagi saya amat seronok dan mengembirakan. Penat, letih, mengantuk semuanya ada tetapi ianya amat bermakna kerana pengalaman ini tidak akan berulang lagi dan hanya datang sekali sahaja✌. Begitu banyak yang saya ingin coretkan lagi tetapi cukuplah sampai di sini sahaja dan yang selebihnya dipahatkan dalam memori dan hati saya😊😊.



Comments

Popular posts from this blog

Hi Semua, Saya Saw Yu Heng!! (A193108 SAW YU HENG)

Perjalanan seminggu ke UKM :minggu orientasi UKM (A193881 YEOH YA TING)

Minggu Pertama di UKM! daripada Jia En~ (A194442 TAN JIA EN)